Usahawan Tempatan Perlu Rebut Peluang Pembangunan Ekonomi Sarawak
MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) telah memainkan peranan penting selama empat dekad dalam memperkasa usahawan Bumiputera Sarawak melalui pembangunan kapasiti, penyediaan peluang perniagaan serta kerjasama erat dengan kerajaan dalam merancakkan ekonomi negeri.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pengukuhan ekonomi negeri ini hasil dari kestabilan politik serta perpaduan rakyat membolehkan usahawan tempatan berkembang hingga ke peringkat serantau dan antarabangsa.
“Sarawak mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pembuatan dan industri hiliran, namun kejayaan negeri bergantung kepada kewujudan lebih ramai usahawan yang benar-benar berdaya saing, berani meneroka pasaran eksport serta sanggup bekerja keras untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Hari Sarawak Ke-63, Ulang Tahun Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Ke-40 dan Apresiasi Gawai 2026 DUBS Miri di De’Southlake Cafe, Naim Clubhouse, South Lake, Miri pada Ahad.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan tempatan supaya tidak hanya menumpukan pasaran domestik, sebaliknya mengembangkan produk Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Mengulas sambutan Hari Sarawak, beliau berkata perayaan itu bukan sekadar memperingati sejarah negeri, malah mengingatkan seluruh rakyat mengenai tanggungjawab bersama untuk memastikan kekayaan sumber asli, kepelbagaian budaya dan potensi ekonomi Sarawak diterjemahkan kepada kemakmuran yang dapat dinikmati generasi akan datang.
Menyentuh sektor pengangkutan udara, Dato Sri Lee berkata kerajaan negeri sedang memperkukuh operasi syarikat penerbangan milik Sarawak secara berperingkat dan yakin langkah itu akan memberi manfaat kepada rakyat termasuk melalui penetapan tambang tetap bagi laluan tertentu.
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, Setiausaha DUBS, Jeszamin Dior, Pengerusi DUBS Cawangan Miri, Mohammad Hafidz Rohani, Pemanca Ujut Rahman serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS