Projek Naik Taraf Perparitan RM100,000 Atasi Banjir Kilat di Kampung Bra’ang Payang
KOTA PADAWAN: Masalah banjir kilat yang sering membelenggu penduduk Lorong 3, Kampung Bra’ang Payang dijangka dapat diatasi menerusi pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan.
Projek bernilai RM100,000 itu dimulakan selepas sesi penyerahan tapak projek dan akan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID). Kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada Julai 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama lima bulan sehingga November 2026.
Pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan kecekapan sistem saliran sekali gus menyediakan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk di kawasan tersebut.
Majlis penyerahan tapak projek telah disempurnakan oleh Ketua Kaum Kampung Bra’ang Payang, James Hook, yang mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kepada pihak kontraktor, Syarikat Sekirik.
Majlis itu turut disaksikan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Mambong, Keron Mapus.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur asas di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS