Pilihan Bahasa Cermin Dinamik Kuasa Serta Identiti Masyarakat
KOTA SAMARAHAN: Pemilihan dan penggunaan bahasa dalam interaksi seharian memainkan peranan signifikan dalam mencerminkan serta membentuk dinamik kuasa dalam sesebuah komuniti.
Menurut Profesor Dr Ting Su Hie, pemahaman mendalam terhadap fungsi bahasa amat penting bagi membina hubungan sosial yang utuh di samping memastikan penyampaian maklumat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk 'Language Choice and Power' di Panggung Eksperimental, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa dinamik bahasa merangkumi aspek pengaruh iaitu power play, pembentukan identiti, serta norma sosial yang mendasari amalan komunikasi harian.
Tambah beliau, norma sosial yang wujud secara tidak bertulis sering membina jangkaan tertentu dalam masyarakat, yang terus diperkukuh menerusi peranan media, jenaka harian, mahupun retorik politik.
“Meskipun berdepan pelbagai cabaran, norma sosial perlu dilihat dari sudut positif kerana ia menterjemahkan kearifan kolektif masyarakat dalam membuat keputusan secara pantas.
“Malah, kepelbagaian bahasa dalam kalangan rakyat Malaysia membuktikan keupayaan tinggi untuk menyesuaikan diri, di mana amalan code-switching kerap digunakan sebagai strategi komunikasi yang efektif,” jelasnya.
Sambil menyentuh mengenai identiti, beliau memberitahu bahawa penggunaan bahasa berkait rapat dengan identiti etnik dan nasional.
Jelasnya, Bahasa Inggeris kekal berprestij sebagai bahasa antarabangsa, manakala bahasa etnik serta dialek tempatan memegang peranan yang lebih mendalam daripada sekadar alat perhubungan.
Justeru, beliau menasihati golongan ibu bapa serta orang dewasa agar sentiasa menggunakan bahasa asal apabila berkomunikasi dengan generasi muda.
Beliau juga menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk membiasakan penggunaan bahasa ibunda untuk bertutur sekali gus memartabatkannya dalam kehidupan harian.
"Penguasaan pelbagai bahasa memberi kelebihan besar dalam merangsang serta meningkatkan keupayaan kognitif individu," tegas beliau.
Mengumpamakan bahasa seperti nilai mata wang, beliau menambah bahawa semakin banyak bahasa yang dikuasai seseorang, semakin tinggi nilai kelebihan yang bakal diperolehi.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Professor Dr Ahmad Hata Rasit, Penyampai Syarahan Sulung, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Dr Sharzede Datu Salleh dan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Samarahan Shahbini Saini. - EDISI UKAS