SMK Kubong Juara Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan TYT Sarawak
KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong muncul johan Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2026, sekali gus mewakili Sarawak ke pertandingan peringkat kebangsaan.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hazami Jahari berkata pertandingan berkenaan memberi ruang kepada para peserta membina keyakinan diri, mengemukakan hujah secara bernas serta menyampaikan buah fikiran dengan baik dan lancar.
“Melalui pertandingan ini, para peserta diberi ruang untuk membina keyakinan diri, mengemukakan hujah secara bernas, menyampaikan buah fikiran serta mampu berbicara dengan baik dan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Sarawak 2026 yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, pada Rabu.
Menurut beliau, pertandingan yang diperkenalkan di Sarawak sejak 1990 itu terus mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 50 pasukan dari seluruh negeri mengambil bahagian pada tahun ini dengan hanya lima pasukan terbaik layak beraksi di peringkat akhir.
Selain muncul johan dan membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM2,500, buku terbitan DBP serta sijil pengiktirafan, SMK Kubong turut mendominasi kategori khas apabila ahlinya dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik, Pengerusi Terbaik dan pemenang Montaj Terbaik.
Naib johan dimenangi oleh SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) yang menerima wang tunai RM2,000, buku terbitan DBP serta sijil pengiktirafan, manakala tempat ketiga menjadi milik SMK Kabong yang membawa pulang wang tunai RM1,000, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Dua pasukan menerima hadiah saguhati iaitu SMK Methodist dan SMK Bintulu dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM500, buku terbitan DBP serta sijil pengiktirafan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli.- EDISI UKAS