Sarawak perkukuh agenda digital, teroka kerjasama strategik dengan IBM Singapura
SINGAPURA: Sarawak terus memperkukuh agenda transformasi digital apabila Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel mengadakan pertemuan strategik bersama IBM Singapura bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan keselamatan siber.
Pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat IBM Singapura di Marina Boulevard pada Rabu itu diketuai oleh Managing Partner IBM Consulting ASEAN, Abraham Thomas, bersama Partner IBM Global Business Services, Balasubrahmanyam Pappu serta barisan kepimpinan kanan syarikat berkenaan.
Dalam sesi tersebut, IBM berkongsi pengalaman transformasi globalnya dengan menekankan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada pengurusan perubahan yang berkesan menerusi pengurangan kerumitan operasi, penyederhanaan aliran kerja menyeluruh, automasi proses manual serta penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada tiga bidang strategik yang dikenal pasti sebagai keutamaan bersama iaitu AI sebagai pelaburan jangka panjang, pembangunan platform pengkomputeran kuantum serta pengukuhan keupayaan keselamatan siber bagi melindungi infrastruktur digital kritikal dan perkhidmatan digital masa hadapan.
Menurut Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah, Sarawak komited membangunkan ekonomi digital yang berdaya tahan dan dipacu inovasi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, teknologi canggih seperti AI dan pengkomputeran kuantum mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, menarik pelaburan bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab digital yang kompetitif di peringkat serantau.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang perkongsian pengetahuan, pemindahan teknologi serta kerjasama strategik antara IBM Singapura dan agensi-agensi Sarawak dalam usaha membangunkan keupayaan digital yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), Prof. Dr. Patrick Thein, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), Chew Chang Guan serta Ketua Pegawai Teknologi Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS), Than Shau Bui.-EDISI UKAS