Sukan Pickleball Eratkan Semangat Kesukanan Jabatan Pertanian Sarawak Dan UKAS
KUCHING: Perlawanan Persahabatan Pickleball antara Jabatan Pertanian Sarawak dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan sebagai rakan strategik, tetapi juga menggalakkan penjawat awam Sarawak terlibat aktif dalam sukan dan aktiviti riadah.
Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat berkata, pihaknya mengambil pendekatan mengadakan perlawanan persahabatan Pickleball disebabkan sukan ini sedang mendapat sambutan hangat di kalangan penjawat awam Sarawak.
“Kita melihat pucuk pimpinan di Sarawak khususnya Setiausaha Kerajaan Sarawak amat menggalakkan penjawat awam Sarawak terus terlibat aktif dalam sukan dan riadah.
“Mengambil kira permainan Pickleball yang kini sedang mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan penjawat awam Sarawak,“ katanya semasa ditemui selepas perlawanan yang berlangsung di Pikabol di sini, pada Isnin.
Dominic turut mahu setiap penjawat awam khususnya di Jabatan Pertanian Sarawak untuk terus mengekalkan tahap kesihatan yang baik seperti yang disarankan Setiausaha Kerajaan Sarawak dengan mengamalkan work-life balance.
“Sebagai Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, saya mengharapkan rakan-rakan saya di jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak akan terus bergiat aktif dalam kegiatan riadah lebih-lebih lagi permainan Pickleball.
“Menerusi amalan work-life balance atau keseimbangan pekerjaan dan kehidupan, penjawat awam perlu memastikan pekerjaan yang dilakukan tidak menganggu masa bersama keluarga, masa untuk diri sendiri dan aktiviti-aktiviti lain yang penting dalam kehidupan,” ujarnya.
Kesempatan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Pengarah UKAS, Awang Putrayustrie Awang Redzuan bersama pegawai dan staf UKAS yang telah sudi menerima jemputan Jabatan Pertanian Sarawak untuk mengadakan perlawanan persahabatan ini.
Tidak ketinggalan kepada Kelab Pertanian Sarawak yang telah menguruskan perlawanan persahabatan Pickleball ini.-EDISI UKAS