Pembangunan Lestari Agenda Kerajaan Sarawak Perkukuh Ekonomi Serta Alam Sekitar
LIMBANG: Pembangunan lestari bagi memperkukuh keseimbangan ekonomi dan alam sekitar terus menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemajuan ekonomi negeri berjalan seiring dengan usaha memelihara sumber semula jadi serta memperkukuh daya tahan terhadap cabaran perubahan iklim.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak melaksanakan pembangunan lestari dengan mengimbangi pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar bagi menjamin kemakmuran negeri tanpa menjejaskan kelestarian sumber semula jadi.
“Kita sekarang ini berdepan dengan banyak perubahan iklim. Bukan cabaran masa depan atau generasi baharu, ianya menjadi satu cabaran yang sudah berlaku.
“Masalah global perubahan iklim ini merupakan cabaran yang kita hadapi dan kita perlu menghadapi semua fenomena cuaca ekstrem seperti banjir besar, kemarau, peningkatan suhu, hakisan pantai, hakisan tanah, jerebu serta kehilangan biodiversiti yang semakin berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Dalam Penjagaan Alam Sekitar ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang pada Isnin.
Tambah Datuk Amar Awang Tengah berkata, pembangunan di Sarawak dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira penggunaan tanah secara mampan, di samping memperkukuh usaha pemuliharaan hutan dan kawasan perlindungan bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan penjagaan alam sekitar terus terpelihara.
Menurut beliau, Sarawak juga hampir mencapai sasaran mewartakan sekurang-kurangnya 1 juta hektar kawasan hutan sebagai Totally Protected Area (TPA), sekali gus memperkukuhkan komitmen kerajaan negeri terhadap pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem.
Dalam pada itu, beliau berkata, Natural Resources and Environment Board (NREB) akan terus diperkasakan bagi menyelaras pengurusan alam sekitar di Sarawak, termasuk mengambil alih fungsi Department of Environment (DOE) secara berfasa selepas mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.
Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan penggunaan teknologi ‘waste-to-energy’ untuk menukar sisa buangan kepada tenaga, di samping memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta memupuk kesedaran masyarakat bahawa pemeliharaan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diterapkan sejak usia muda.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Controller Kualiti Alam Sekitar NREB Sarawak Datu Jack Liam, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation Abang Arabi Abang Aimran, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Penolong Pengarah Tanah, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Mohamad Razali Arsyad serta Timbalan Controller (Pengurusan) NREB Sarawak Kenny Poon.-EDISI UKAS