Sarawak Mohon Kerajaan Persekutuan Tambah Peruntukan Eksplorasi Mineral
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak memohon Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan bagi penerokaan dan pembangunan sumber mineral di negeri itu bagi memperkukuh usaha mengenal pasti potensi sebenar kekayaan mineral serta merancakkan pembangunan industri hiliran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menyuarakan perkara itu ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Mineral Negara di sini, pada Selasa.
Mempengerusikan mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, Kerajaan Sarawak telah menunjukkan komitmen berterusan dalam membangunkan sektor mineral negeri dengan memperuntukkan dana yang besar bagi kajian geologi dan sumber mineral menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurutnya, Sarawak memperuntukkan RM15 juta di bawah RMK-12 dan tambahan RM18 juta di bawah RMK-13 untuk menjalankan kajian mengenai kewujudan serta potensi sumber mineral di seluruh negeri.
Bagaimanapun, beliau berkata peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan jauh lebih rendah, iaitu hanya RM1.36 juta di bawah RMK-12 dan RM1.91 juta di bawah RMK-13, jumlah yang disifatkan tidak sepadan dengan keluasan Sarawak serta potensi sumber mineral yang dimilikinya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peningkatan peruntukan kepada Sarawak agar setanding dengan negeri-negeri lain.
Beliau memaklumkan Johor menerima peruntukan sebanyak RM6.5 juta, manakala Sabah, Perak dan Kedah masing-masing menerima RM4.5 juta bagi tujuan yang sama.
Datuk Amar Awang Tengah berkata peningkatan peruntukan itu akan memperkukuh usaha pemetaan geologi dan penerokaan mineral, sekali gus membolehkan penilaian yang lebih tepat terhadap kekayaan sumber mineral Sarawak serta menarik lebih banyak pelaburan dan pembangunan industri hiliran pada masa hadapan.
Mesyuarat Majlis Mineral Negara itu turut membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan industri mineral negara termasuk usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan sumber mineral negara dilaksanakan secara strategik dan mampan. -EDISI UKAS