Pusat Sains Sarawak Disasar Jadi Hab Kerjasama Saintifik Bertaraf Global
KUCHING: Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) disasarkan menjadi hab kerjasama saintifik bertaraf global yang menghimpunkan saintis, penyelidik dan institusi penyelidikan dari seluruh dunia dalam usaha meneroka penyelesaian inovatif demi masa depan Sarawak, Malaysia dan masyarakat antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SSCiEX diwujudkan bukan sekadar untuk manfaat Sarawak atau Malaysia, malah sebagai platform yang menggalakkan kolaborasi rentas sempadan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Kepada para saintis, marilah kita berganding bahu dan bekerjasama dengan menjadikan pusat ini sebagai sebuah makmal untuk mencipta penyelesaian dan inovasi demi masa depan Sarawak, Malaysia serta dunia,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Sains Sarawak di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kedudukan strategik Sarawak di Pulau Borneo yang berhampiran garisan Khatulistiwa memberikan kelebihan semula jadi untuk menyokong pelbagai aktiviti penyelidikan, inovasi dan pembangunan saintifik.
Katanya, kekayaan sumber semula jadi Borneo, termasuk sumber air, cahaya matahari dan biodiversiti, menyediakan persekitaran yang ideal bagi penyelidikan dalam pelbagai disiplin sains.
“Saya berharap pusat ini akan menjadi pencetus kepada langkah menuju masa depan yang lebih gemilang,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS