SSCiEX Perkasa Pembelajaran Melalui Pengalaman Dunia Sebenar
KUCHING: Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) yang siap dibina menjadi platform yang menghubungkan pelajar dan masyarakat dengan dunia sains menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman, sekali gus melangkaui pembelajaran di dalam bilik darjah dan buku teks.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, SSCiEX bukan sekadar sebuah kemudahan baharu, malah melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam membudayakan sains, inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat.
“Pusat ini akan berfungsi sebagai sebuah bilik darjah hidup yang membolehkan para pelajar mengalami dan meneroka dunia sains melangkaui pembelajaran di dalam buku teks.
“Pada masa yang sama, ia akan memperkasakan para guru melalui penyediaan sumber serta alat pembelajaran interaktif bagi menyemarakkan minat dan rasa ingin tahu dalam kalangan pelajar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian SSCiEX yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Rabu.
Pada masa sama, katanya, kemudahan tersebut turut menyediakan sumber pembelajaran serta peralatan interaktif kepada para pendidik bagi membantu meningkatkan minat dan penguasaan STEM dalam kalangan pelajar.
Mengulas lanjut, Dato Sri Roland Sagah yang juga Pengerusi SSCiEX memberitahu, pusat berkenaan juga akan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk meneroka bidang berimpak tinggi seperti robotik, pengaturcaraan, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi antara sektor utama ekonomi masa hadapan.
“Dengan memupuk bakat di setiap peringkat, kita sedang membina asas yang kukuh ke arah merealisasikan ekonomi Sarawak yang dipacu oleh inovasi,” ujarnya lagi.
Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan SSCiEX dengan ‘Science Centre Singapore’, Petrosains Sdn Bhd, Sarawak Metro Sdn Bhd, ‘National STEM Association’ (NSA) serta ‘Sarawak Digital Economy Corporation Berhad’ (SDEC) bagi memperluas kerjasama dalam pembangunan program pendidikan STEM, perkongsian kepakaran, inovasi dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Selain itu, ‘Sarawak Research and Development Council’ (SRDC) turut memeterai MoU dengan Universiti i-CATS bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala Universiti i-CATS menandatangani MoU dengan Dassault Systèmes bagi meningkatkan kerjasama dalam pembangunan teknologi digital, kejuruteraan serta latihan bakat berkemahiran tinggi. -EDISI UKAS