Sarawak Perlu Lebih Ramai Saintis Tempatan Teroka Nilai Baharu Sumber Asli
KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai saintis tempatan bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negeri, sekali gus membolehkan kekayaan sumber asli diteroka untuk menjana nilai baharu serta memacu pembangunan ekonomi berasaskan sains dan teknologi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, negeri ini mempunyai kelebihan tersendiri sebagai sebahagian daripada Pulau Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia yang kaya dengan hutan hujan tropika, sungai serta sumber air yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem global.
“Dengan itu, Kerajaan Sarawak melihat kepada sumber-sumber yang kita miliki. Namun, jurang yang masih perlu kita atasi ialah keperluan untuk melahirkan lebih ramai saintis.
“Kita memerlukan golongan muda Sarawak yang dilengkapi dengan teknologi serta ilmu pengetahuan terkini agar mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber yang kita miliki,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, dunia kini berdepan cabaran besar akibat perubahan iklim apabila peningkatan suhu global melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding era praindustri berpotensi menjejaskan keselamatan makanan serta kelangsungan hidup manusia.
Sehubungan itu jelas beliau, Sarawak perlu memanfaatkan kekuatan sumber semula jadinya bagi membangunkan penyelesaian yang lebih lestari menerusi pendekatan berasaskan sains, teknologi dan inovasi.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, dan Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS