Skuad Antidadah Perhebat Gerakan Komuniti Bebas Dadah Asajaya
ASAJAYA: Daerah Asajaya terus memperkukuh gerakan komuniti bebas dadah menerusi pemerkasaan barisan sukarelawan apabila seramai 50 ahli Skuad Antidadah Daerah Asajaya menyertai Program ‘Training of Trainers’ (TOT) Skuad Antidadah Tahun 2026 di Dewan Pejabat Daerah Asajaya, pada Selasa.
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Samarahan itu bertujuan meningkatkan kapasiti sukarelawan sebagai ejen perubahan dalam komuniti melalui penyampaian mesej pendidikan pencegahan dadah yang lebih berkesan, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat dalam membendung gejala penyalahgunaan dadah.
Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin berkata usaha memerangi penyalahgunaan dadah tidak boleh digalas oleh AADK semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersepadu daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Menurut beliau, latihan seperti Program TOT menjadi platform penting untuk melahirkan sukarelawan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeyakinan dalam menyampaikan mesej pencegahan dadah kepada masyarakat.
“Saya berharap setiap peserta yang mengikuti latihan ini akan menjadi ejen perubahan yang mampu menggerakkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan belia.
“Ilmu dan pengalaman yang diperoleh hari ini perlu diterjemahkan kepada tindakan di lapangan bagi memperkukuhkan usaha menjadikan Daerah Asajaya sebuah komuniti yang selamat, sejahtera dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Sementara itu, Ketua Daerah AADK Daerah Samarahan, Nadia Muhammad Hazmi berkata pelaksanaan Program TOT merupakan inisiatif berterusan AADK dalam memperkasakan peranan Skuad Antidadah sebagai rakan strategik agensi bagi memperluaskan pendidikan pencegahan dadah kepada masyarakat.
Beliau berkata ahli Skuad Antidadah perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar mampu menjadi sumber rujukan komuniti serta memainkan peranan lebih proaktif dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.
Sepanjang program, peserta mengikuti empat slot utama meliputi senario semasa penyalahgunaan dadah dan bahan, simulasi pendaftaran Skuad Antidadah secara dalam talian, perkongsian mengenai peranan Skuad Antidadah Bahagian Samarahan yang disampaikan oleh Pengerusi Skuad Antidadah Bahagian Samarahan, Junaidi Kaderi, serta sesi perancangan dan hala tuju Skuad Antidadah Daerah Asajaya yang disampaikan oleh Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Asajaya, Encik Mohd Noorhamizan Hamid.
Pengisian tersebut memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan sukarelawan, penyelarasan gerak kerja dan pelaksanaan aktiviti pendidikan pencegahan dadah secara lebih sistematik bagi memperkukuh gerakan komuniti bebas dadah di daerah ini.
Turut hadi, Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang, Pengerusi Skuad Antidadah Bahagian Samarahan Junaidi Kaderi dan Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Asajaya Mohd Noorhamizan Hamid. -EDISI UKAS