Seminar Pemerkasaan Adat Bidayuh Perkukuh Peranan Ketua Kaum
KUCHING: Seminar Pemerkasaan Adat Bidayuh anjuran Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) berjaya memperkukuh kefahaman serta keupayaan Ketua Kaum dalam mengendalikan hal ehwal adat di peringkat komuniti.
Seramai 60 Ketua Kaum Bahagian Kuching dan Serian yang baharu dilantik telah menghadiri seminar tersebut yang berlangsung di Imperial Hotel, baru-baru ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Majlis MAIS, Datu Dr Neilson Ian Mersat.
Menurut beliau, penganjuran seminar ini bertujuan meningkatkan pemahaman Ketua Kaum Bidayuh mengenai struktur, kandungan serta terminologi dalam Adat Bidayuh 1994, termasuk aspek kesalahan dan pantang larang yang perlu dipatuhi.
Beliau turut menegaskan bahawa penguasaan terhadap adat ini amat penting bagi memastikan Ketua Kaum dapat mengendalikan kes-kes berkaitan adat dengan lebih berkesan dan berwibawa di peringkat kampung.
Tambah beliau lagi, program tersebut merupakan antara usaha berterusan MAIS dalam memartabatkan institusi Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Bidayuh sebagai pendukung utama adat, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 3 Native Customs (Declaration) Ordinance, 1996.
Turut hadir ialah Setiausaha MAIS, Elsie William, Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Serian, Temenggong Henry Bujang Sendan serta Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Temenggong Atok Derop bersama pegawai kanan MAIS.-EDISI UKAS