Tokoh Industri Jadi Inspirasi Lahir Lebih Ramai Bakat STEM Tempatan
BINTULU: Kejayaan tokoh industri tempatan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan industri pada masa depan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, pelajar tidak perlu mencari contoh kejayaan di luar negara kerana ramai anak Sarawak telah membuktikan bahawa minat, disiplin dan kesungguhan menimba ilmu mampu membawa mereka ke peringkat tertinggi dalam kerjaya.
Beliau berkata, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Abang Jimmy Abang Mordian merupakan antara contoh terbaik kejayaan anak tempatan yang harus dijadikan teladan oleh pelajar.
“Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang STEM sejak usia muda dan kini menerajui antara aset LNG terbesar di dunia.
“Jika Abang Jimmy boleh melakukannya, saya yakin anak-anak kita juga mempunyai potensi yang sama untuk berjaya dalam bidang STEM pada masa hadapan,” katanya dalam Majlis Penutupan Program Memperkasakan Ilmu: STEM on Wheels di Dewan Suarah Bintulu pada Selasa.
Sementara itu, Abang Jimmy berkata, PETRONAS kekal komited memperkasa pendidikan STEM menerusi Program Memperkasakan Ilmu: STEM on Wheels sebagai usaha memupuk minat pelajar terhadap bidang berkenaan sejak di bangku sekolah.
Menurutnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu itu melibatkan penyertaan 38 guru dan 240 pelajar daripada tiga sekolah menengah menerusi bengkel Training of Trainers (TOT) untuk guru serta pelbagai aktiviti pembelajaran STEM secara praktikal.
Beliau memberitahu, pendedahan awal kepada STEM penting bagi melahirkan lebih ramai jurutera tempatan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan industri negara.
“PETRONAS akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan institusi pendidikan dalam memperluas inisiatif pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai saintis, jurutera dan inovator pada masa hadapan,” ujarnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Solomon Kudik.-EDISI UKAS