Kerajaan Komited Perkasa Industri Penternakan, Tingkatkan SSL Bekalan Daging Sarawak
LAWAS: Kerajaan terus memperkukuh pembangunan industri penternakan di Sarawak menerusi penyaluran bantuan naik taraf infrastruktur ladang kepada 100 penternak di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Lawas.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD), Syed Ismail Nasiruddin Dato Sri Wan Hashim berkata, bantuan tersebut merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti penternakan sekali gus menyokong sasaran Self-Sufficiency Level (SSL) bekalan daging Sarawak menjelang 2030.
Menurut beliau, setiap bantuan yang disalurkan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penerima agar mampu meningkatkan hasil pengeluaran serta memberi pulangan kepada industri penternakan negeri.
"Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan. Saya berharap semua penerima mengusahakannya dengan bersungguh-sungguh kerana kejayaan projek ini bergantung kepada komitmen para penternak sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Input Pagar Ternakan Kerbau dan Lembu KPKM di Perkarangan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Lawas, pada Selasa.
Beliau berkata, Sarawak masih bergantung kepada bekalan daging dari luar, justeru usaha meningkatkan pengeluaran tempatan perlu dipergiatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Tambahnya, kerajaan akan terus menyokong pembangunan industri penternakan melalui pelbagai inisiatif termasuk kerjasama antara jabatan, agensi dan persatuan penternak bagi memastikan sektor tersebut terus berkembang.
Beliau turut mengingatkan para penerima agar tidak mengusahakan penternakan secara sambilan atau ala kadar, sebaliknya menjadikannya sebagai perusahaan yang mampu menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Veterinar Daerah Lawas, Robine Asut berkata bantuan yang disalurkan melibatkan peruntukan berjumlah RM3.65 juta.
Menurut beliau, daripada 100 penerima bantuan, seramai 70 penternak menerima bantuan naik taraf perimeter pagar manakala 30 penternak lagi menerima bantuan pembinaan kandang kerbau dan lembu dalam bentuk penyediaan dawai duri, tiang pagar serta kemudahan kandang.
Katanya, bantuan tersebut memberi manfaat kepada penternak di kawasan Ba' Kelalan, Long Semadoh, Long Sukang, Trusan, Sundar, Kampung Punang dan Lawas Damit.
Inisiatif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor penternakan negeri, di samping memastikan keterjaminan makanan Sarawak terus diperkasa melalui penglibatan aktif para penternak tempatan.-EDISI UKAS