KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) giat memperkemaskan perancangan komunikasi, publisiti dan penyiaran sebagai persediaan menghadapi penganjuran Sukan SEA Ke-34 yang bakal berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 di Sarawak.
Persediaan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa (JK) Media Cetak, Publisiti, Siaraya dan Kewartawanan Bilangan 1/2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Sarawak, Datu Hii Chang Kee di Bilik Mesyuarat Utama UKAS di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan bersama ahli-ahli jawatankuasa serta wakil agensi berkaitan.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada peranan UKAS dalam merangka pelan komunikasi menyeluruh bagi Kluster Sarawak sepanjang temasya dwitahunan itu.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah penyediaan Terms of Reference (TOR) bagi jawatankuasa, pembangunan Pelan Induk Komunikasi, strategi media, publisiti dan penyiaran secara bersepadu, selain memperkukuhkan kerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027.
Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa konsortium penyiaran dijangka dimuktamadkan pada 5 hingga 7 Ogos ini menerusi satu bengkel khas, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan pelan penyiaran yang lebih tersusun.
Dari aspek penyiaran, TVS dijangka mengendalikan siaran langsung dan rakaman sepanjang temasya sebelum kandungan tersebut disalurkan ke Pusat Penyiaran Antarabangsa atau International Broadcast Centre (IBC) di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, UKAS akan bertanggungjawab mewujudkan sebuah Pusat Media di Sarawak bertempat di IBC yang mana pembinaannya disasarkan siap sebelum April tahun hadapan.
Selain itu, pelan promosi awal akan digerakkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk program kira detik setahun menjelang Sukan SEA yang dijadual berlangsung pada 18 September 2026.
Bagi memperhebatkan lagi promosi temasya, satu jerayawara promosi Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan bermula Januari 2027 melibatkan seluruh Sarawak, bermula di Limbang sebelum berakhir di Kuching sebagai usaha menyemarakkan semangat rakyat serta meningkatkan kesedaran mengenai penganjuran temasya tersebut.
Selain itu, Larian Obor akan diadakan di kesemua 12 bahagian di Sarawak, disusuli pelbagai aktiviti promosi lain seperti kuiz, jelajah, kempen media tradisional dan digital, penerbitan kisah inspirasi bekas atlet, penyiaran kandungan khas serta penerbitan sebuah coffee table book bagi memperkukuhkan penjenamaan temasya.
Bagi memastikan kelancaran operasi media, jawatankuasa turut membincangkan keperluan menilai kemudahan di semua 18 venue pertandingan, termasuk lokasi Pusat Media, penyediaan latar belakang sidang media yang seragam dengan kerjasama MYSED, serta penyediaan kemudahan penyiaran di setiap venue.
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia, Norismadi Abd Manap yang turut hadir dalam mesyuarat itu secara zoom menekankan kepentingan memulakan usaha penjenamaan dan publisiti lebih awal bagi meningkatkan keterlihatan Sukan SEA 2027, di samping memastikan penyediaan perkhidmatan media dan penyiaran bertaraf profesional selaras dengan standard penganjuran antarabangsa.
Untuk rekod, Sarawak akan menjadi salah satu venue bagi temasya dwitahunan kali ini yang akan mempertandingkan 18 daripada 43 acara sukan termasuk majlis pembukaan.
Tiga lagi venue ialah Kuala Lumpur (18 sukan), Pulau Pinang (6 sukan) dan Johor (1 sukan).- EDISI UKAS