Draf Lengkap Adat Bisaya 2004 Diperincikan, Kekal Relevan Mengikut Peredaran Zaman
LIMBANG: Usaha memperkukuh dan mengemaskini perundangan adat komuniti Bisaya terus diperkasa menerusi penganjuran Seminar/Bengkel Adat Bisaya 2004 (Pendrafan Semula/Pindaan Adat) Bahagian 3 yang berlangsung selama dua hari di Hotel Purnama Limbang pada Rabu.
Program anjuran Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) di bawah kelolaan Seksyen Penyelidikan Adat Orang Ulu ini merupakan kesinambungan kepada projek fasa pertama dan kedua yang dilaksanakan sebelum ini.
Pendrafan semula adat ini dibangunkan berasaskan data empirikal hasil kajian lapangan komprehensif pada tahun 2025 melalui kaedah pemerhatian serta temu bual bersasar bersama komuniti setempat.
Menurut Ketua Seksyen Budaya, Tradisi dan Sejarah MAIS, Dr Chali Ungang, bengkel fasa ketiga ini memainkan peranan penting sebagai platform menyemak, meneliti serta mengesahkan keseluruhan data sosiokultural sebelum dimuktamadkan sebagai draf lengkap Adat Bisaya yang lebih terperinci dan relevan dengan konteks semasa.
Seramai 20 Ketua Kaum Bisaya dari Bahagian Limbang terlibat sebagai pakar rujuk utama dalam bengkel ini.
Penglibatan mereka memastikan setiap pindaan yang dicadangkan dibuat secara telus, tepat serta mengambil kira keperluan semasa tanpa menjejaskan keaslian dan identiti warisan adat kaum Bisaya.
Dalam masa yang sama, Seksyen Budaya, Tradisi dan Sejarah MAIS turut memperkenalkan fungsi serta peranan baharu seksyen berkenaan termasuk pelan integrasi agensi bagi memperkukuh pengurusan adat di peringkat komuniti.
Hadir sama ialah Ketua Masyarakat Bisaya Limbang, Temenggong Nicholas Buyok Pura, serta barisan kepimpinan masyarakat iaitu Pemanca Jun Sillah dan Penghulu Ekit Awang yang turut memberikan pandangan serta input berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam hal ehwal adat.-EDISI UKAS