PUSAKA & Yayasan Sabah Perkukuh Kerjasama Bangunkan Industri Buluh
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) memperkukuh kerjasama strategik dengan Yayasan Sabah bagi mempercepat pembangunan industri buluh sebagai sumber ekonomi baharu yang mampan di kedua-dua negeri.
Timbalan Pengurus Besar PUSAKA, Haluyah Awi berkata, lawatan kerja delegasi Sabah bersama Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Sabah dan Pusat Kraftangan Sabah itu mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan industri buluh melalui perkongsian kepakaran, penyelidikan dan teknologi.
“PUSAKA percaya bahawa lawatan ini bukan sekadar platform untuk berkongsi maklumat, malah menjadi ruang bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan, pengalaman, pengetahuan teknikal dan amalan terbaik berkaitan pembangunan industri buluh,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Menurut beliau, kerjasama itu mampu memperkukuh rantaian nilai industri buluh yang menyokong pertumbuhan ekonomi hijau, pembangunan luar bandar serta kesejahteraan masyarakat menerusi pendekatan berasaskan ilmu dan amalan terbaik.
Sementara itu, Pengarah ICU JPM Sabah, Datuk Samsul Dollah berkata, Sabah mahu memanfaatkan pengalaman PUSAKA, khususnya dalam pelaksanaan Good Agricultural Practices (GAP), bagi membangunkan industri buluh secara lebih tersusun dan berdaya saing.
“Industri buluh di negara ini masih berada pada peringkat awal. Oleh itu, pendedahan seperti ini amat penting supaya kita dapat mengadaptasi pendekatan yang terbukti berkesan bagi meningkatkan hasil dan produktiviti,” katanya.
Tambah Datuk Samsul, industri buluh mempunyai potensi besar sekiranya dibangunkan secara terancang dengan mencontohi kejayaan negara seperti China, Thailand dan Taiwan yang telah lama menjadikan buluh sebagai komoditi bernilai tinggi.
Sebagai rekod, PUSAKA dan Yayasan Sabah telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) tahun lalu bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri buluh secara lestari meliputi penanaman bahan mentah, penyelidikan, pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta latihan komuniti di Sabah dan Sarawak.-EDISI UKAS