LUBOK ANTU: Seramai 306 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) menerima surat hak milik tanah melibatkan 417 lot berkeluasan keseluruhan 903 hektar, sekali gus memperkukuh pengiktirafan sah pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah bagi kawasan pembangunan SALCRA Wilayah Sri Aman itu merupakan antara pengisian utama sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 SALCRA dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh di Lubok Antu Palm Oil Mill, Merindun, pada Rabu.
Penganjuran majlis hasil kerjasama SALCRA dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh hak pemilikan tanah NCR melalui proses penyukatan, pendaftaran dan pengeluaran surat hak milik secara sistematik.
Daripada keseluruhan surat hak milik yang diserahkan, sebanyak 34 lot berkeluasan 31 hektar dikeluarkan di bawah Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak kepada 34 penerima melibatkan 37 pemilik berdaftar dari sebuah rumah panjang.
Sementara itu, 383 lot lagi berkeluasan 872 hektar dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada 272 penerima yang melibatkan 300 pemilik berdaftar dari 12 rumah panjang.
Pengeluaran surat hak milik tersebut merupakan antara inisiatif penting SALCRA bagi memastikan tanah NCR yang dibangunkan di bawah kawasan pembangunan agensi itu memperoleh pengiktirafan pemilikan secara sah, sekali gus memberi jaminan keselamatan hak milik kepada para peserta.
Di bawah Ordinan SALCRA 1976, proses penyukatan dan pengeluaran surat hak milik dilaksanakan selaras dengan peruntukan Seksyen 19(1)(b) bagi menyokong pembangunan tanah secara terancang dan mampan.
Bagi mempercepatkan proses berkenaan, Kumpulan Juruukur SALCRA telah diberikan pengiktirafan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak pada tahun 2020 untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran kadaster, sekali gus mempercepat proses pengenalpastian, pengukuran dan pengesahan tanah NCR di kawasan pembangunan SALCRA.
Selain majlis penyerahan hak milik tanah, sambutan Jubli Emas SALCRA turut dimeriahkan dengan Pameran Program Outreach 50 Tahun SALCRA yang menghimpunkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, anak syarikat SALCRA dan sektor swasta bagi mempromosikan perkhidmatan, produk serta inisiatif pembangunan kepada peserta dan masyarakat setempat.
Pelbagai kaunter perkhidmatan turut disediakan termasuk khidmat berkaitan pembangunan peserta, pemasaran produk, latihan pembangunan kapasiti, pendaftaran koperasi, baja pertanian, anak benih kelapa sawit serta produk hiliran industri sawit.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman, Micheakson Nyisin, Pengurus Besar SALCRA Datu Joseph Blandoi dan Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Frank Lani. -EDISI UKAS