Minggu Sains Negara 2026 Zon Sarawak Perkasa Literasi STEM dan Agenda Tenaga Masa Depan
KUCHING: Penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Sarawak menjadi platform penting dalam memperkukuh literasi serta minat masyarakat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM), selari dengan usaha membangunkan modal insan berkemahiran tinggi di negeri ini.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, penubuhan Pusat Sains Sarawak merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kecekapan STEM serta memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mendalami bidang tersebut melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan moden.
“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak membolehkan kita menyediakan persekitaran pembelajaran yang menarik dan relevan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Sains Negara di Pusat Sains Sarawak pada Khamis.
Kerajaan Sarawak katanya, juga giat membangunkan saluran bakat STEM yang komprehensif melalui pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP), yang membolehkan pelajar mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bagi meningkatkan daya saing di peringkat global.
Selain itu ujarnya, di bawah inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), pelajar Sarawak yang layak berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan STEM tanpa kekangan kewangan, khususnya di institusi milik kerajaan negeri.
Usaha berterusan turut dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif seperti STEM Trailblazers, STEM Catalysts, penyediaan komputer serta penambahbaikan capaian internet di sekolah luar bandar, selain peluang penyelidikan menerusi geran BrightSparx.
Dalam memastikan manfaat sains dapat dinikmati secara menyeluruh, program MSN Zon Sarawak 2026 akan diperluaskan melalui karnival bergerak yang melibatkan kawasan Meradong, Bintulu dan Belaga dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Mengulas tema MSN tahun ini yang memfokuskan kepada advokasi tenaga nuklear, beliau berkata inisiatif tersebut penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear secara selamat dan aman.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan sektor tenaga moden memerlukan asas kukuh dalam bidang STEM, termasuk fizik, kejuruteraan dan teknologi maju bagi melahirkan generasi saintis dan jurutera yang kompeten.
Tambahnya, kejayaan agenda pendidikan dan inovasi negeri hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, industri serta komuniti.-EDISI UKAS