Offshore Energy Asia 2026 Platform Perkukuh Peranan Sarawak Sebagai Hab Tenaga Hijau Serantau
KOTA KINABALU: Persidangan Offshore Energy Asia 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai peneraju dalam sektor tenaga mampan, di samping membuka peluang pelaburan, perkongsian ilmu dan kerjasama serantau.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, berkata landskap krisis tenaga global yang berlarutan kini memberi tekanan besar terhadap rantaian bekalan, kos logistik serta ekonomi dunia, sekali gus menuntut pendekatan lebih mampan dan berdaya tahan.
“Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia turut terdedah kepada gangguan ini. Namun Sarawak berada dalam kedudukan kukuh untuk mengurangkan impak tersebut melalui peralihan agresif ke arah tenaga hijau,” katanya menerusi rakaman video sempena ucaptama perasmian persidangan di Le Méridien Kota Kinabalu pada Khamis.
Beliau menjelaskan, antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk penyediaan subsidi bahan api bersasar bagi sektor kritikal seperti pengangkutan komersial dan kawasan pedalaman, selain memastikan kestabilan rantaian bekalan domestik.
Pada masa sama katanya, Sarawak terus memperkukuh dominasi tenaga boleh diperbaharui dengan lebih 60 peratus penjanaan elektrik negeri kini berpaksikan kuasa hidro melalui Sarawak Energy, sekali gus membolehkan kadar tarif elektrik kekal rendah dan kompetitif di rantau ini.
Tambah beliau, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sehingga 15 gigawatt menjelang 2035, termasuk pembangunan teknologi hidro simpanan pam serta projek aliran sungai bagi memastikan kestabilan grid.
Dalam usaha meneroka sumber tenaga masa depan, Sarawak ujarnya turut memberi fokus kepada pembangunan ekonomi hidrogen melalui projek seperti H2ornbill dan H2biscus, di samping memperkasa biofuel, bahan api penerbangan mampan (SAF) dan inisiatif Waste-to-Energy.
Mengulas peranan serantau, beliau berkata Sarawak kini muncul sebagai pengeksport tenaga melalui sambungan grid rentas sempadan ke Kalimantan Barat, Sabah, Brunei dan Singapura, sekali gus menjana sumber pendapatan baharu negeri.
Dalam aspek tadbir urus, beliau menjelaskan, penubuhan unit Sarawak Climate and Energy Diplomacy Unit membolehkan negeri ini menyesuaikan dasar tenaga, pasaran karbon dan peraturan hijau secara lebih responsif terhadap perubahan global.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan tenaga, keselamatan operasi dan keselamatan siber kini menjadi keutamaan kritikal yang tidak boleh dikompromi dalam industri tenaga luar pesisir.-EDISI UKAS