Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 7-9 Ogos Ini
SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei akan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan serta aktiviti mesra keluarga selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos ini di Kompleks Sukan Sarikei.
Program anjuran Kerajaan Sarawak itu menjadi platform mendekati rakyat menerusi pendekatan turun padang dengan menghimpunkan kementerian, jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan serta sektor swasta di bawah satu bumbung.
Menurut kenyataan media Urus Setia Induk Program Sarawakku Sayang 2026, penganjuran program berkenaan bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan, meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak serta mengeratkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat.
Berteraskan konsep Pusat Sehenti (One-Stop Centre), orang ramai boleh berurusan secara terus dengan pelbagai agensi selain mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), peluang pekerjaan melalui JobSarawak, pembangunan usahawan, bantuan kebajikan serta pelbagai program pembangunan negeri.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai perkhidmatan turut disediakan termasuk khidmat nasihat dan saringan kesihatan percuma, pembayaran bil utiliti, khidmat nasihat berkaitan perkhidmatan statutori serta saluran aduan awam menerusi kaunter TaliKhidmat.
Program sama turut membuka peluang kepada pencari kerja melalui sesi temu duga terbuka yang disertai pelbagai syarikat, selain pengambilan terbuka Askar Wataniah bagi mereka yang berminat menyertai pasukan berkenaan.
Bagi memeriahkan penganjuran, pelbagai aktiviti disusun untuk seisi keluarga termasuk senamrobik, Fun Run dan Fun Walk, sukan rakyat, pertandingan e-sukan, aktiviti kanak-kanak, jualan usahawan tempatan, pameran agensi serta demonstrasi masakan.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Malam Budaya Sarawak pada malam Jumaat yang menampilkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, diikuti Konsert Rakyat pada malam Sabtu yang bakal menghiburkan pengunjung dengan persembahan artis terkenal tanah air dan artis tempatan.
Majlis perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 8 Ogos, jam 10.30 pagi di Pentas Utama Kompleks Sukan Sarikei.
Turut dijangka hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta pemimpin masyarakat.
Sebagai penghargaan kepada pengunjung, lebih 60 hadiah cabutan bertuah ditawarkan menerusi aktiviti e-Peraduan yang akan berlangsung sepanjang program.-EDISI UKAS