Sambutan 40 Tahun Bahagian Samarahan Platform Hargai Sejarah, Perkukuh Identiti Dan Promosi Pembangunan
KOTA SAMARAHAN: Sambutan 40 Tahun Bahagian Samarahan bertemakan 'Samarahan Maju Makmur' bukan sekadar meraikan ulang tahun penubuhannya, malah menjadi platform menghargai sejarah pembangunan, meningkatkan kesedaran generasi muda serta mempromosikan pencapaian dan potensi Bahagian Samarahan sebagai antara kawasan pembangunan utama di Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, sepanjang empat dekad penubuhannya, Bahagian Samarahan telah melalui transformasi besar daripada sebuah kawasan luar bandar kepada bandar ilmu, pusat kediaman dan hab pembangunan sosioekonomi yang pesat.
Menurut beliau, pembangunan yang dikecapi hari ini merupakan hasil usaha berterusan Kerajaan Sarawak bersama semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam merancang serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan sejak Bahagian Samarahan diwujudkan.
"Selama 40 tahun ini kita menyaksikan pembangunan Bahagian Samarahan yang semakin maju dan tersusun di mana perancangan yang diasaskan sejak awal, termasuk menjadikan Samarahan sebagai bandar ilmu dan kawasan pengeluaran makanan negeri, kini telah direalisasikan dengan begitu baik.
"Hari ini Samarahan bukan sahaja dikenali sebagai bandar ilmu, malah berkembang menjadi kawasan kediaman dan komersial yang penting di Sarawak," katanya ketika ditemui UKAS selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan 40 Tahun Bahagian Samarahan Bil. 3/2026 di Bilik Mesyuarat Batang Sadong, Pejabat Residen Bahagian Samarahan, pada Isnin.
Tambahnya, sambutan tersebut turut bertujuan memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai sejarah pembangunan Bahagian Samarahan yang dicapai melalui usaha gigih pelbagai pihak sejak 40 tahun lalu.
Menurutnya, jika suatu ketika dahulu pengangkutan sungai merupakan laluan utama dan jaringan jalan raya amat terhad, kini hampir 99 peratus kawasan di Bahagian Samarahan telah dihubungkan dengan rangkaian jalan raya termasuk jalan utama, jalan luar bandar serta jalan perhubungan kampung.
"Melalui sambutan ini kita mahu memaklumkan pencapaian yang telah dinikmati rakyat, memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai sejarah pembangunan, menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat serta mempromosikan Samarahan sebagai antara bandar yang berjaya ditransformasikan oleh Kerajaan Sarawak demi kesejahteraan rakyat.
"Saya yakin pembangunan ini akan diteruskan dan Samarahan akan muncul sebagai antara bandar utama di Sarawak yang bukan sahaja terkenal sebagai bandar ilmu, malah menjadi pusat pertumbuhan sosioekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup penduduk," tambahnya.
Dalam majlis sama, turut berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo Sempena Sambutan 40 Tahun Samarahan Maju Makmur anjuran Pejabat Residen Bahagian Samarahan.
Abang Muhammad Zulhanis Abang Zakeria, guru di Sekolah Kebangsaan Green Road yang berasal dari Sarikei, dinobatkan sebagai pemenang dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.
Beliau sebelum ini turut dikenali menerusi penghasilan kandungan kreatif termasuk video promosi AirBorneo dan program Sarawakku Sayang.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab serta Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang. -EDISI UKAS