Sukan Medium Pupuk Perpaduan, Bentuk Masyarakat Berdisiplin
SARATOK: Sukan perlu terus dimanfaatkan sebagai platform untuk memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan disiplin dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Panel Penasihat Politik, Ekonomi dan Sosial Kerajaan Malaysia, Profesor Dato’ Paduka Seri Is. Dr. Tunza Mohd Riduan berkata, penglibatan dalam aktiviti sukan bukan sekadar bertujuan mengejar kemenangan, malah berperanan membentuk masyarakat yang lebih bersatu, saling menghormati dan berdaya saing.
Menurut beliau, semangat berpasukan merupakan elemen penting yang perlu diterapkan kerana kejayaan dalam sesuatu pertandingan bergantung kepada persefahaman, komunikasi serta kerjasama yang kukuh dalam kalangan ahli pasukan.
“Menang atau kalah merupakan lumrah dalam pertandingan. Apa yang penting ialah setiap peserta terus berusaha, belajar daripada pengalaman dan tidak mudah berputus asa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Dart Beregu Tertutup Sarawak Piala YM Profesor Dato’ Paduka Seri Is. Dr. Tunza Mohd Riduan 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran pertandingan seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan dart, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta melalui semangat kesukanan serta persaingan yang sihat.
Dalam pertandingan tersebut, pasukan LPDC Target muncul juara kategori Gold Plate, diikuti War’s 15 Super Redz sebagai naib juara, manakala tempat ketiga dikongsi oleh SOS 71 dan QRT 81.
Bagi kategori Silver Plate, pasukan Samakayau NTN dinobatkan sebagai juara, diikuti Lonewolf AU di tempat kedua, sementara RX Team dan BOC x King’z AA berkongsi tempat ketiga.-EDISI UKAS