SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei menyasarkan kehadiran seramai 30,000 pengunjung sepanjang penganjurannya dari 7 hingga 9 Ogos, sekali gus dijangka menjadi antara lokasi tumpuan utama bagi siri jelajah program itu tahun ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan sambutan yang memberangsangkan terhadap penganjuran SKS di beberapa bahagian sebelum ini.
Menurutnya, pihak penganjur menjangkakan kehadiran sekitar 5,000 pengunjung setiap hari dan dijangka meningkat pada hari kemuncak program.
“Melihat kepada sambutan yang diterima di lokasi-lokasi terdahulu, kami yakin sasaran yang ditetapkan mampu dicapai.
“Justeru, kami mengalu-alukan kehadiran masyarakat dari Sarikei serta bahagian berhampiran untuk bersama-sama memeriahkan SKS 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Akhir Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei di Kompleks Sukan Sarikei, pada Isnin.
Selain itu, katanya, pihak penganjur turut menyediakan 82 hadiah cabutan bertuah yang boleh dimenangi sepanjang tiga hari program berlangsung.
Beliau berkata, cabutan bertuah itu menawarkan hadiah utama berupa gelang emas 916 bernilai RM15,000, selain beberapa lagi hadiah menarik yang disediakan kepada pengunjung bertuah sepanjang program tersebut berlangsung.
Katanya, pengunjung hanya perlu melengkapkan pendaftaran menerusi E-Peraduan dengan mengisi maklumat yang diperlukan serta menjawab beberapa soalan berkaitan program sebelum layak menyertai cabutan bertuah secara automatik.
Tambah beliau, cabutan bertuah akan diadakan pada setiap hari bermula pukul 4 petang, manakala pemenang hadiah utama akan diumumkan pada 9 Ogos bersempena majlis penutupan rasmi SKS 2026 Bahagian Sarikei.-EDISI UKAS