SKS 2026 Dijangka Tampil Kelainan, Orang Ramai Diseru Hadir ke Sarikei
SARIKEI: Masyarakat dari seluruh Sarawak dipelawa memeriahkan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Bahagian Sarikei yang dijangka menampilkan pelbagai pengisian menarik serta kelainan tersendiri hasil perancangan rapi jawatankuasa pelaksana.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, persiapan keseluruhan program yang dibentangkan pada mesyuarat penyelarasan terakhir menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang amat memberangsangkan.
Menurutnya, kerjasama erat semua kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat telah membolehkan setiap aspek penganjuran diperhalusi bagi memastikan program berskala besar itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan jawatankuasa penganjur atas komitmen tinggi dalam memastikan segala persiapan berjalan mengikut perancangan.
“Saya yakin para pengunjung akan menyaksikan sendiri keunikan yang bakal ditampilkan oleh Bahagian Sarikei menerusi konsep penganjuran, susun atur kawasan serta pelbagai aktiviti yang telah dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pegawai media dalam satu sidang media berkenaan dengan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei di Kompleks Sukan Sarikei, di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, setiap agensi yang terlibat terus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan semua kemudahan dan pengisian program dapat disediakan dengan sebaiknya demi keselesaan pengunjung.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat dari Sarikei serta kawasan berhampiran termasuk Sibu, Mukah, Betong, Kapit, Tanjung Manis dan bahagian lain supaya hadir bersama-sama memeriahkan program berkenaan.
Katanya, selain menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan, orang ramai juga berpeluang mendengar amanat daripada Premier Sarawak serta menyaksikan sendiri kemeriahan Program Sarawakku Sayang 2026 yang bakal menjadi antara acara terbesar di Bahagian Sarikei pada tahun ini.-EDISI UKAS