Pendidikan Berkualiti Kunci Lahirkan Modal Insan Berdaya Saing
JULAU: Pendidikan berkualiti terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata penganjuran Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES memberi peluang kepada pelajar memahami hala tuju pengajian serta inisiatif pendidikan yang disediakan kerajaan negeri.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir.
“Pendidikan percuma yang disediakan kerajaan negeri adalah satu peluang besar untuk anak-anak Sarawak membina masa depan dan kembali menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Program Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau, pada Sabtu.
Tambah beliau, kerajaan turut memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa kualiti pendidikan melalui peningkatan keupayaan tenaga pengajar dan sistem pembelajaran.
Dalam pada itu, Dato Rolland berkata usaha memperkukuh kemudahan pendidikan di SMK Julau akan diteruskan, termasuk pembinaan dewan terbuka, kerja naik taraf dewan serta penyediaan papan paparan LED bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kelulusan kelas Tingkatan Enam di SMK Julau dan berharap bilangan kelas dapat ditambah pada tahun hadapan bagi menampung pertambahan pelajar.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan RM25,000 kepada SMK Julau dan RM30,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Julau, selain meneruskan sumbangan tahunan RM100,000 bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan di daerah itu.-EDISI UKAS