Wanita Digalak Manfaatkan Teknologi Perkasa Ekonomi Digital
LAWAS: Golongan wanita di Sarawak digalakkan memanfaatkan teknologi digital sebagai pemangkin meningkatkan taraf sosioekonomi, memperluaskan peluang keusahawanan serta memperkukuh penyertaan mereka dalam pembangunan negeri.
Inisiatif itu dizahirkan menerusi Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) Peringkat Daerah Lawas yang bertemakan Sarawak Women in Digital Economy, berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lawas, pada Ahad.
Program anjuran Pejabat Daerah Lawas dengan kerjasama CENTEXS Lawas itu menghimpunkan seramai 45 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita sekitar Daerah Lawas.
Penganjuran program tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim dan kebersamaan dalam kalangan wanita, di samping mengiktiraf sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi, masyarakat dan negeri, khususnya dalam bidang ekonomi digital.
Selain meningkatkan kesedaran mengenai potensi ekonomi digital, program itu turut memberi pendedahan mengenai kepentingan penguasaan kemahiran digital serta penggunaan teknologi secara produktif bagi meneroka peluang baharu dalam dunia keusahawanan.
Peserta turut mengikuti ceramah bertajuk Memperkasa Wanita Dengan AI dan Ekonomi Digital yang disampaikan oleh Officer In-Charge CENTEXS Lawas, Puan Cathrine Guma, yang menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital serta inovasi dalam perniagaan.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan penyertaan peserta dalam siaran langsung Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 bersama Premier Sarawak, selain mengenakan pakaian bertemakan hijau sebagai simbolik sambutan.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan sebagai wadah memperkasa wanita dengan ilmu dan kemahiran digital, sekali gus melahirkan lebih ramai wanita yang berdaya saing, inovatif serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital Sarawak.
Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Linda Yabi, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Siti Rohana Tuah serta Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Rasidah Dawi.-EDISI UKAS