Kerjasama Strategik Pacu Aspirasi Sarawak Jadi Pengeksport Bersih Makanan Menjelang 2030
BINTULU: Kerjasama strategik antara akademia, industri, agensi kerajaan dan komuniti merupakan pemacu utama dalam memperkukuh sektor pertanian Sarawak sekali gus merealisasikan aspirasi negeri menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha mencapai sasaran tersebut tidak boleh bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi yang mampu memberi impak langsung kepada pembangunan sektor pertanian.
“Namun, mencapai aspirasi ini memerlukan lebih daripada inisiatif kerajaan semata-mata. Ia bergantung kepada kerjasama kukuh antara akademia, industri, agensi kerajaan dan komuniti tempatan.
“Institusi penyelidikan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) memainkan peranan penting dalam menjana pengetahuan baharu dan teknologi inovatif, manakala kerjasama antara kerajaan, universiti, industri dan komuniti tempatan penting bagi memastikan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada manfaat yang nyata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan semasa Kongres Ketiga Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan (COSAFS 2026) sebelum majlis perasmian disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Isnin.
Sementara itu jelasnya, inisiatif seperti AgriHub membuktikan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh keselamatan makanan serta menyokong pembangunan luar bandar, malah pendekatan tersebut akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi strategik di seluruh Sarawak.
Pada masa sama, katanya, penubuhan School of Veterinary and Animal Science (SVAS) akan memperkukuh pembangunan kepakaran veterinar tempatan dalam menyokong kesihatan ternakan, keselamatan makanan dan aspek biosekuriti.
“Perbincangan sepanjang kongres ini bukan sahaja akan memajukan pengetahuan saintifik, malah menyumbang kepada pembentukan dasar yang lebih baik, industri yang lebih kukuh dan sistem makanan yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan.
“Saya menggalakkan semua delegasi memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk membina jaringan, memulakan kerjasama penyelidikan dan meneroka penyelesaian yang dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak, malah rantau ini secara keseluruhannya,” ujarnya.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti, Naib Canselor UPM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain.-EDISI UKAS