KUCHING: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) mencadangkan penubuhan kampusnya di Sarawak sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan modal insan bernilai tinggi di rantau ini.
Cadangan tersebut dikemukakan dalam kunjungan hormat delegasi IIUM yang diketuai Rektor IIUM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Dalam kunjungan itu, delegasi IIUM membentangkan Cadangan Kerangka bagi Penubuhan Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Sarawak, yang menggariskan usaha mewujudkan sebuah kampus tetap sebagai pusat pembangunan pendidikan tinggi dan modal insan di negeri ini.
Cadangan tersebut bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur baharu, malah bertujuan membangunkan ekosistem akademik IIUM di Sarawak dengan memanfaatkan rangkaian antarabangsa serta nilai teras universiti bagi melahirkan tenaga mahir berimpak tinggi.
Melalui inisiatif itu, IIUM berhasrat menjadikan Sarawak sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi yang menggabungkan jenama global universiti dengan keunikan budaya, sistem perundangan dan landskap sosioekonomi negeri.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah mewujudkan kampus fizikal yang menghubungkan masyarakat Sarawak serta komuniti di rantau Borneo, termasuk Sabah, Brunei dan Kalimantan, dengan rangkaian pembelajaran bertaraf global.
Cadangan penubuhan kampus IIUM di Sarawak dijangka membuka lebih banyak peluang kepada rakyat negeri ini untuk mengakses pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa tanpa perlu berhijrah ke Semenanjung, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pendidikan dan pembangunan bakat bertaraf global.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Shahril Haqim