Inovasi, Penyelidikan & Teknologi Pacu Transformasi Pertanian Lestari Sarawak
BINTULU: Inovasi, penyelidikan dan teknologi perlu terus diperkasa bagi mentransformasikan sektor pertanian Sarawak menjadi industri moden, berdaya tahan serta mampu menjamin sekuriti makanan dan kemakmuran ekonomi untuk generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sektor pertanian bukan lagi sekadar pengeluar makanan, sebaliknya menjadi pemacu sekuriti makanan, pencipta peluang pekerjaan berkualiti, pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar serta penyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.
“Hasrat kita adalah untuk mentransformasikan sektor pertanian menjadi sebuah industri moden, dipacu teknologi dan berpendapatan tinggi melalui inovasi, transformasi digital, pertanian tepat, bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), automasi, integrasi tenaga boleh diperbaharui serta pengurusan sumber secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Ketiga Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan (COSAFS 2026) di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), sekuriti makanan telah ditetapkan sebagai antara keutamaan strategik negeri dengan memberi penekanan kepada pembangunan pertanian berasaskan inovasi dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing sektor tersebut.
Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan untuk muncul sebagai hab serantau bagi pertanian lestari dan inovasi agromakanan berikutan keluasan tanah, kekayaan biodiversiti, potensi tenaga boleh diperbaharui serta ekosistem pertanian yang pelbagai.
"Inisiatif seperti AgriHub membuktikan penyelidikan, inovasi dan kerjasama bersama komuniti mampu meningkatkan produktiviti pertanian serta memperkukuh sekuriti makanan.
"Pada masa sama, penubuhan School of Veterinary and Animal Science (SVAS) akan mempertingkat kapasiti tempatan dalam bidang perubatan veterinar, kesihatan haiwan dan pembangunan industri ternakan," jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai COSAFS 2026, beliau berkata kongres tersebut menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara akademia, industri, kerajaan dan komuniti menerusi perkongsian penyelidikan, dialog dasar, pemindahan teknologi serta jaringan antarabangsa ke arah pembangunan sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua peserta terus meneroka penyelesaian transformatif yang mengintegrasikan teknologi digital, prinsip ekonomi kitaran, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan tanah secara mampan serta pembangunan luar bandar yang inklusif bagi memperkasa petani, menarik penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian, merancakkan keusahawanan dan meningkatkan daya tahan komuniti.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti, Naib Canselor UPM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain.-EDISI UKAS