Stephen Kayang Uloi Pertahan Warisan Pembuatan Sape
ULU BARAM: Bunyi pisau raut menyentuh kayu memecah kesunyian sebuah bengkel kraftangan di Long Siut, Sungai Selungo.
Di situlah, tangan Stephen Kayang Uloi membuang serpihan kayu arau dengan perlahan dan berhati-hati.
Pada permukaan kayu yang masih kasar, corak tradisional mula muncul — seolah-olah sebuah cerita lama sedang dihidupkan semula.
Selama kira-kira dua dekad, Stephen menghasilkan sape, alat muzik yang menjadi sebahagian daripada jiwa dan identiti masyarakat Orang Ulu.
“Susah hendak buat kerana kayu ini liat. Tetapi ia tahan lama dan memang digunakan untuk membuat sape sejak dahulu lagi,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.
Menurut Stephen, kayu arau bukan sekadar bahan mentah. Kayu itu dipilih kerana ketahanannya dan telah digunakan secara turun-temurun dalam pembuatan sape.
Namun, menghasilkan sebuah sape memerlukan lebih daripada kayu yang baik.
Sebelum ukiran bermula, corak perlu dilakar pada permukaannya.
Kemudian, bahagian tertentu ditebuk sebelum dibentuk satu demi satu menggunakan pisau raut yang tajam.
Bahagian berlekuk yang sempit menjadi cabaran paling besar.
“Tidak boleh tergesa-gesa. Kita buat sedikit demi sedikit. Mula-mula lukis, kemudian tebuk dan barulah diukir,” jelasnya sambil menambah sebuah sape boleh mengambil masa antara 20 hari hingga sebulan untuk disiapkan.
Tempohnya bergantung kepada saiz dan kerumitan ukiran, terutama bagi sape yang dihiasi corak penuh sehingga ke bahagian ‘kepala’.
Stephen menambah, antara motif yang dihasilkan ialah Kalong Penan, corak tradisional yang membentuk jaluran seakan-akan saling menarik antara satu sama lain.
Sape bersaiz kecil dijual pada harga bermula sekitar RM800, manakala sape bersaiz lebih besar dengan kemasan berwarna boleh mencecah lebih RM1,000.
Bagi sape yang dihiasi ukiran penuh, harganya boleh mencapai sekitar RM2,900, manakala tempahan khas dengan kemasan warna tertentu pula boleh mencecah kira-kira RM3,800.
“Kadang-kadang ada tempahan dan kadang-kadang tiada. Semuanya bergantung kepada permintaan,” katanya.
Namun, bagi Stephen, nilai sape tidak terletak pada ukiran semata-mata.
Apabila dipetik, sape menghasilkan alunan yang lembut dan mengalir — bunyi yang pernah mengiringi tarian serta menjadi sebahagian daripada kehidupan nenek moyang sejak dahulu.
“Kalau sudah penat bekerja, main sape boleh buat kita rasa relaks. Bunyi itu bergantung kepada cara seseorang memetiknya,” katanya.
Hari ini, sape turut berubah. Versi kontemporari hadir dengan keupayaan baharu, membolehkan pelbagai jenis muzik dimainkan.
Namun, bagi Stephen, bunyi sape tradisional masih mempunyai nada yang sukar digantikan.
“Tidak sama, jauh berbeza,” katanya ringkas.
Di Long Siut, Stephen percaya beliau antara segelintir individu yang masih memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembuatan sape.
Walaupun jumlah pembuat sape semakin berkurangan, Stephen terus memberi tumpuan kepada penghasilan alat muzik tradisional itu bagi memastikan seni pertukangan dan warisan budaya masyarakat Orang Ulu tidak luput ditelan zaman. - EDISI UKAS