Ahli Parlimen Kota Samarahan Salur Dana RM382,000 Kepada Persatuan, Pelajar
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak RM382,000 disalurkan kepada 29 persatuan dan 127 pelajar di kawasan Parlimen Kota Samarahan menerusi Program P197 Samarahan Prihatin 2026 yang berlangsung di Dewan Dato' Wan Ahmad Shabri Zainuddin, RISDA Negeri Sarawak, pada Ahad.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan telah menyempurnakan program tersebut di mana sebanyak RM360,000 diperuntukkan menerusi Geran Peruntukan Khas Ahli Parlimen Fasa 2 kepada 29 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, kelab, surau, masjid serta pertubuhan di kawasan berkenaan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan pendidikan berjumlah RM22,000 secara simbolik kepada 50 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam serta luar negara di mana bantuan tersebut menjadikan keseluruhan penerima insentif pendidikan bagi Batch 1 Tahun 2026 seramai 127 pelajar dengan jumlah peruntukan RM35,000.
Menurut Datuk Rubiah, program berkenaan membuktikan komitmen berterusan beliau dalam memastikan pembangunan komuniti serta agenda pendidikan di Kota Samarahan terus diberi keutamaan.
"Peruntukan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi amanah untuk memperkukuh pembangunan komuniti, meningkatkan perpaduan serta memperbaiki kemudahan di kampung melalui program yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau menegaskan setiap geran yang disalurkan hendaklah digunakan mengikut tujuan permohonan serta diurus secara telus dengan penyediaan laporan lengkap bagi memastikan integriti pengurusan dana sentiasa terpelihara.
Dalam masa sama, Datuk Rubiah turut melahirkan rasa bangga terhadap peningkatan pencapaian pendidikan anak-anak Samarahan yang kini semakin ramai berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Beliau turut mengingatkan para pelajar agar memanfaatkan pelbagai inisiatif pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak termasuk peluang pendidikan tinggi percuma dalam bidang yang ditawarkan, selain sentiasa berhubung dengan pejabat beliau sekiranya memerlukan bantuan berkaitan pengajian. -EDISI UKAS