Impian Ibu Jadi Kenyataan, Anak Samarahan Cipta Kecemerlangan Pendidikan Di Peringkat Antarabangsa
KOTA SAMARAHAN: Program P197 Samarahan Prihatin 2026 bukan sahaja menjadi platform penyampaian Sumbangan Pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), malah turut mengetengahkan kejayaan anak-anak Samarahan yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pendidikan bertaraf antarabangsa.
Antara kisah yang mencuri perhatian ialah kejayaan keluarga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian, Satifah Hamdan, apabila tiga daripada empat anaknya berjaya melanjutkan pengajian di Jepun, New Zealand dan Australia, sekali gus merealisasikan impian beliau yang tidak kesampaian untuk menyambung pengajian ke Jepun selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Satifah, beliau amat bersyukur apabila impian yang pernah terpendam akhirnya diteruskan oleh anak-anaknya yang kini menimba ilmu di Jepun, New Zealand dan Australia.
"Saya dahulu berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Jepun tetapi tidak berpeluang. Alhamdulillah, hari ini anak-anak saya berjaya menuntut ilmu di Jepun, New Zealand dan Australia.
“Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan kejayaan mereka walau di mana mereka berada," katanya.
Anak bongsunya, A'dillah Farhanah Ismail, 20, kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Matematik di Australian National University (ANU), Canberra, Australia, manakala anak ketiganya sedang mengikuti pengajian Ijazah Biologi di University of Canterbury, New Zealand.
Turut menjadi inspirasi ialah penerima sumbangan pendidikan, Dayangku Siti Nurizrahtul Awang Ahmad Safri, 19, yang bakal melanjutkan pengajian Ijazah Perniagaan Antarabangsa di ISEC Business School, Perancis di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau bertekad untuk kembali berkhidmat di Sarawak selepas tamat pengajian bagi menyumbang kepada pembangunan negeri serta berharap lebih ramai anak muda Sarawak akan merebut peluang pendidikan di peringkat antarabangsa.
"InsyaAllah selepas tamat pengajian saya akan kembali ke Sarawak untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negeri. Saya berharap lebih ramai anak Sarawak berani mengejar peluang pendidikan di luar negara dan kembali membangunkan negeri sendiri," ujarnya.
Seramai 50 pelajar menerima Sumbangan Pendidikan Melanjutkan Pelajaran ke IPTA/IPTS Dalam dan Luar Negara yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menerusi Program P197 Samarahan Prihatin 2026 yang berlangsung di Dewan Dato' Wan Ahmad Shabri Zainuddin, RISDA Negeri Sarawak, pada Ahad. -EDISI UKAS