Dokumentasi Tanah NCR Penting Jamin Hak Milik Penduduk
TEBEDU: Pemilik tanah adat Bumiputera (NCR) diseru supaya memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan projek dokumentasi tanah NCR bagi menjamin hak milik tanah mereka untuk generasi masa kini dan akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, sesi penerangan dan dialog yang diadakan bertujuan memberi maklumat serta meningkatkan pemahaman penduduk mengenai kepentingan pelaksanaan projek tersebut.
Menurutnya, projek dokumentasi tanah NCR merupakan satu inisiatif penting kerana dapat membantu mengesahkan hak milik tanah melalui dokumen yang sah, sekali gus mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan.
“Tanah yang tidak mempunyai dokumen sukar dibuktikan pemilikannya, manakala dokumentasi yang lengkap akan memberikan penjelasan yang jelas mengenai status tanah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penerangan dan Dialog Projek Dokumentasi Tanah NCR di Balai Raya Reteh Plaman, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dr Simon memberitahu, kejayaan pelaksanaan projek di beberapa kampung seperti Kampung Pichin, Plaman Nyabet, Jenan dan Plaman Bantang membuktikan dokumentasi tanah mampu membantu pemilik memperoleh hak milik yang sah serta membolehkan geran tanah diwariskan kepada generasi seterusnya.
Beliau memberi jaminan akan membantu pemilik tanah memohon kerja-kerja penyukatan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS), selain mengingatkan penduduk supaya hanya menggunakan operator Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang mempunyai ID berdaftar dengan DBNA bagi mengelakkan sebarang masalah dalam proses dokumentasi.
Sehubungan itu, beliau meminta biro tanah dan semua pemilik tanah bertindak secara proaktif bagi memastikan proses dokumentasi dapat dilaksanakan dengan lancar.
Dr Simon turut menasihati pemilik tanah supaya tidak menjual tanah semata-mata untuk kemewahan, sebaliknya hanya mempertimbangkan penjualan sekiranya benar-benar diperlukan bagi membiayai pendidikan anak-anak sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Sebagai sokongan kepada pelaksanaan projek tersebut, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi setiap tiga kampung, iaitu Kampung Reteh Karas, Kampung Plaman dan Kampung Mawang, untuk melaksanakan dokumentasi tanah NCR.