Program Perlawanan Persahabatan Bowling 2026 Eratkan Ukhwah Pemuda PBB Zon Kuching
KUCHING: Program Perlawanan Persahabatan Bowling 2026 berjaya menghimpunkan kira-kira 100 peserta daripada lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching dalam suasana penuh semangat kesukanan dan silaturahim di Riverside Superbowl, pada Ahad.
Program julung kali anjuran Biro Sukan dan Ekonomi Pemuda PBB N.8 Satok itu disertai pasukan dari DUN Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Padungan, Batu Lintang dan Kota Sentosa.
Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, penganjuran program tersebut sebagai satu platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan Pemuda PBB di Zon Kuching, di samping memperkukuhkan semangat kerjasama antara setiap DUN.
“Hubungan yang terjalin melalui aktiviti seperti ini akan memudahkan kerjasama dalam pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Ibrahim menegaskan, sayap Pemuda merupakan cabang yang amat penting dalam sesebuah organisasi politik kerana menjadi pelapis kepimpinan parti.
Katanya, kebanyakan pemimpin yang memegang jawatan sebagai wakil rakyat pada hari ini juga bermula daripada perjuangan di peringkat Pemuda.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda agar terus aktif, bersatu serta memperkukuhkan semangat kerja berpasukan demi memastikan kesinambungan kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada masa hadapan.
Dalam pada itu, pasukan DUN N.7 Samariang muncul sebagai juara selepas mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang kejohanan.
Tempat kedua dimenangi oleh DUN N.9 Padungan, manakala DUN N.6 Tupong berjaya menduduki tempat ketiga.
Selain itu, DUN N.7 Samariang turut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan DUN, sekali gus membuktikan prestasi cemerlang pasukan tersebut dalam Program Perlawanan Persahabatan Bowling 2026. -EDISI UKAS