SIMUNJAN: Nur Athifah muncul juara Pertandingan Nyanyian Batang Sadong Idol 2026 menerusi persembahan lagu Hening Rindu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500 pada malam kemuncak Festival Kesenian dan Warisan Batang Sadong Versi 2.0 Tahun 2026 di Padang Sentral Simunjan, pada Ahad.
Tempat kedua dimenangi Mahazail menerusi lagu Syair Laila Majnun yang membawa pulang hadiah wang tunai RM400, manakala Okiey yang mempersembahkan lagu Hijab Rindu menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM300.
Pertandingan Nyanyian Batang Sadong Idol merupakan antara acara kemuncak festival yang berlangsung selama tiga hari itu, selain menjadi platform untuk mengetengahkan bakat dalam bidang seni persembahan, khususnya nyanyian.
Pada malam yang sama, Pertandingan Ratu Cilik Corak Sarawak turut diadakan dengan Nur Ammara Assyifa Faizul dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200.
Naib johan menjadi milik Leya Aldabella Ahmad Hidayat yang menerima hadiah wang tunai RM150, manakala Nur Hanan Nazmia Mohd Rahmat menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang RM100.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS), Abdul Lattif Poli.
Festival Kesenian dan Warisan Batang Sadong Versi 2.0 Tahun 2026 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari dengan menghimpunkan pelbagai pengisian berteraskan seni, kebudayaan dan warisan masyarakat setempat.
Penganjuran festival tersebut bukan sahaja menjadi platform mencungkil serta mengetengahkan bakat baharu dalam kalangan generasi muda, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk menghayati, memelihara dan memartabatkan seni serta warisan tempatan agar terus relevan dan diwarisi oleh generasi akan datang. -EDISI UKAS