Premier Sarawak Rasmi COSAFS2026, Perkukuh Transformasi Pertanian Pintar Sarawak
BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Congress on Sustainable Agriculture and Food Security (COSAFS2026) yang berlangsung di Imperial Hotel, Bintulu, pada Isnin.
Kongres anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) serta International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF) berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos 2026 bersempena Sarawak Agrofest 2026.
Bertemakan “Feeding the Future, Fostering Sustainable Food”, COSAFS2026 menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, profesional industri, pembuat dasar, agensi kerajaan serta peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu semasa berkaitan pertanian lestari, keselamatan makanan, inovasi teknologi dan pembangunan agroindustri. Penganjuran kongres ini selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh sektor agromakanan dan merealisasikan sasaran menjadi pengeksport makanan menjelang tahun 2030.
Bersempena majlis tersebut, Premier Sarawak turut melancarkan AgriHub, sebuah jenama dan platform transformasi pertanian yang dipelopori oleh UPMS.
AgriHub merangkumi tiga inisiatif utama iaitu AgriHub@Gedong, AgriHub@Layar dan AgriHub@Marudi yang memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian pintar, pemerkasaan komuniti, pengkomersialan teknologi dan pembangunan agroindustri berasaskan kekuatan setempat.
Platform itu mengintegrasikan penyelidikan, inovasi teknologi serta kerjasama strategik antara kerajaan, institusi akademik, industri dan komuniti bagi memodenkan sektor agromakanan Sarawak. Melalui peluasan inisiatif dari Gedong ke Layar dan Marudi, AgriHub berperanan memperkukuh keselamatan makanan, meningkatkan produktiviti serta kesejahteraan komuniti luar bandar, di samping membangunkan ekosistem agroindustri yang berdaya tahan.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia yang diwakili Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, FASc dengan SEDC Nutreco Sdn. Bhd yang diwakili Pengurus Besarnya, Rakayah Hamdan.
Kerjasama strategik itu dijangka memperkukuh sinergi antara institusi akademik dan industri dalam memperkasa penyelidikan, inovasi serta pembangunan sektor agromakanan negara.
COSAFS2026 turut menghimpunkan empat persidangan antarabangsa yang berlangsung serentak iaitu International Scientific Conference on Indigenous Crops (ISCIC2026), International Conference on Fisheries and Animal Sciences (FISAS2026), International Conference on Food and Industrial Crops (ICFIC2026) serta 18th Conference and Exhibition of the International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF2026).
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Dato Prof Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Kaum Dan Ketua Masyarakat (KMKK).-EDISI UKAS