Kerajaan Sarawak Perkukuh Jaringan Kebajikan Rakyat Menerusi Anjung Kasih Bintulu
BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh jaringan kebajikan rakyat menerusi penyediaan Anjung Kasih Hospital Bintulu yang menawarkan kemudahan penginapan kepada keluarga pesakit, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memastikan pembangunan negeri bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah turut meningkatkan kesejahteraan masyarakat selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Anjung Kasih bukan sekadar sebuah bangunan baharu, malah melambangkan nilai kemanusiaan, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam membantu keluarga pesakit yang sedang melalui detik sukar.
Menurut beliau, pembangunan Sarawak bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan infrastruktur, malah turut memberi penekanan kepada kesejahteraan sosial serta kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Komitmen ini membuktikan bahawa sektor korporat bukan sahaja menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, malah mampu menjadi rakan pembangunan sosial yang memberi impak secara langsung kepada kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu di Hospital Bintulu, pada Isnin.
Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Bintulu Port Holdings Berhad yang menaja sepenuhnya pembinaan Anjung Kasih Hospital Bintulu.
Jelas beliau, kemudahan tersebut amat signifikan memandangkan ramai pesakit dari kawasan luar mendapatkan rawatan di hospital utama, sekali gus memerlukan tempat penginapan yang selesa, selamat dan mudah diakses oleh ahli keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Anjung Kasih Hospital Bintulu merupakan Anjung Kasih pertama di negara ini yang menggunakan Anjung Kasih Management System, iaitu sistem digital bagi menguruskan pendaftaran dan penginapan waris pesakit.
Katanya, penggunaan sistem tersebut membolehkan rekod penghuni diurus secara lebih sistematik, sekali gus memudahkan proses pemantauan, pengurusan data serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Premier Sarawak turut memaklumkan kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif berkenaan menerusi pembangunan Anjung Kasih di Kuching dengan kerjasama SABATI.
"InshaAllah, selepas ini kita akan membangunkan Anjung Kasih di Kuching dengan kerjasama SABATI. Di Kuching, bangunan warisan akan dikekalkan dengan memelihara fasad asalnya, manakala sebuah bangunan lapan tingkat akan dibina di bahagian belakang bagi menyediakan kemudahan penginapan yang lebih selesa kepada keluarga pesakit.
"Saya berharap konsep Anjung Kasih ini dapat diperluaskan ke tempat-tempat lain yang memerlukan kemudahan penginapan untuk keluarga pesakit," tambah beliau.
Turut hadir, anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Ruslan Abdul Ghani, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain.-EDISI UKAS