Kerajaan Sarawak Jamin Kelangsungan Pelaksanaan FTES
KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) akan diteruskan dan tidak akan dihentikan di pertengahan pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapee berkata, kerajaan Sarawak komited mencari sumber kewangan yang diperlukan bagi memastikan skim berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Jelasnya, persoalan mengenai kelangsungan skim itu tidak seharusnya menjadi kebimbangan pelajar kerana kerajaan telah mengambil kira keperluan pembiayaan bagi memastikan manfaat FTES dapat diteruskan.
“Tiada pilihan untuk kita menghentikan skim ini di pertengahan jalan.
“Kerajaan akan terus mencari sumber kewangan bagi memastikan skim ini dapat dilaksanakan secara berterusan. Jadi, pelajar tidak perlu bimbang,” katanya ketika berucap pada Sesi Dialog FTES, di sini pada Rabu.
Menurutnya, pelaksanaan FTES merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak untuk memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibatasi kekangan kewangan.
Katanya lagi, kerajaan sebelum ini melihat kos pengajian tinggi, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sebagai antara faktor yang boleh mengehadkan peluang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
“Tanpa bantuan, kos pengajian kejuruteraan selama empat tahun boleh mencecah sekitar RM150,000, selain kos sara hidup yang boleh menambah kira-kira RM60,000.
“Secara keseluruhan, keluarga mungkin memerlukan sekitar RM200,000 hingga RM210,000 untuk menghantar seorang anak belajar dalam bidang kejuruteraan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Sarawak turut mengambil pendekatan untuk memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati secara lebih saksama oleh semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang atau asal sekolah.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berkata kerajaan Sarawak turut tidak mengenakan ikatan atau bond kepada penerima FTES selepas mereka menamatkan pengajian.
Menurutnya, pelajar yang menerima manfaat skim tersebut bebas menentukan hala tuju kerjaya masing-masing selepas tamat pengajian, termasuk memilih untuk bekerja di luar Sarawak sekiranya mendapat peluang yang lebih baik.
“Kita tidak meminta anda (pelajar) untuk membayar balik wang tersebut dan kerajaan juga tidak akan mengikat anda.
“Jika kita tidak dapat menawarkan pekerjaan di Sarawak dan anda mendapat pekerjaan yang lebih baik di tempat lain, silakan pergi,” ujarnya.
Datuk Dr Annuar turut mengingatkan pelajar penerima FTES supaya tidak mengambil mudah peluang pendidikan percuma yang diberikan, sebaliknya memanfaatkannya sebaik mungkin dengan menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, pelaksanaan skim itu bukan sahaja merupakan harapan ibu bapa dan pensyarah, malah membawa harapan seluruh rakyat Sarawak terhadap generasi muda yang bakal menerajui negeri pada masa hadapan.
“Percuma tidak bermakna kita mengambilnya secara ringan. Sesuatu yang percuma sepatutnya kita hargai dengan lebih tinggi kerana peluang seperti ini mungkin tidak datang untuk kali kedua,” katanya lagi. -EDISI UKAS