SRB Rekod Lebih 141,000 Pergerakan Penumpang Pada Suku Pertama 2026
MIRI: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) merekodkan lebih 141,000 pergerakan penumpang pada suku pertama 2026, selain melaksanakan 389 rondaan, 589 pemeriksaan kapal dan 57 operasi penguatkuasaan bagi memperkukuh keselamatan pengangkutan sungai dan maritim di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pencapaian itu mencerminkan kepentingan penguatkuasaan dan pemantauan berterusan dalam memastikan keselamatan serta kecekapan operasi sektor berkenaan.
Menurutnya, pembangunan sektor maritim dan pengangkutan sungai memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pemodenan infrastruktur navigasi, penggunaan teknologi, keselamatan pelayaran serta pembangunan tenaga kerja tempatan.
"Sepanjang tujuh tahun penubuhan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), pelbagai kemajuan dicapai dalam memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan navigasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Engagement Session and Appreciation Dinner for Riverine and Maritime Industry Players and Stakeholders’, di sini pada Selasa.
Dato Sri Lee turut menekankan kepentingan pemodenan Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS), penyediaan kemudahan bantuan navigasi serta pembaharuan peraturan perkapalan bagi meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan penyerahan tiga Memorandum Perjanjian (MoA) berkaitan kerjasama operasi VTMS di Miri, kajian keselamatan navigasi di Batang Rajang, kajian hakisan kawasan empangan Sungai Sarawak serta pemodenan sistem kawalan empangan berkenaan.
Kerjasama tersebut melibatkan kerajaan dan pemain industri dalam usaha meningkatkan keselamatan pelayaran, kecekapan operasi serta keupayaan infrastruktur sungai dan maritim Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Pengerusi SRB, Dr Safiee Ahmad. -EDISI UKAS