Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Ketuai Delegasi Ke Mesyuarat Teknikal MTPMA63
PUTRAJAYA: Semua isu tertunggak berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diberi keutamaan dan dimuktamadkan sebelum Disember 2026 selepas rundingan mengenainya berlangsung hampir sedekad.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha mempercepat penyelesaian perkara-perkara yang masih belum dimuktamadkan penting bagi memastikan pelaksanaan MA63 dapat direalisasikan sepenuhnya demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.
Beliau menyatakan perkara itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.
Delegasi Sarawak diketuai bersama oleh Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Turut menyertai delegasi ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua-ketua Jabatan serta pegawai kanan Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri membentangkan status pelaksanaan MA63 yang menunjukkan sebanyak 13 perkara telah diselesaikan, lima perkara diselesaikan secara interim, dua perkara masih belum selesai tetapi telah mempunyai keputusan dasar, empat perkara masih dalam perbincangan dan lima lagi dirujuk untuk pertimbangan di peringkat tertinggi.
Antara isu utama yang dibincangkan ialah pertambahan perjawatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, pelaksanaan Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan, isu kesihatan, pendidikan, pemberian kuasa berkaitan alam sekitar serta pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan.
Dalam pada itu, Datuk Ts. Mustapha turut mengarahkan semua kementerian dan agensi Persekutuan supaya memberikan kerjasama penuh bagi mempercepat penyelesaian isu-isu MA63 yang masih tertangguh.
Kerajaan Sarawak juga kekal komited untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan semangat federalisme dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.-EDISI UKAS