Kompleks Sukan Komuniti Igan Siap Lebih Awal, Perkukuh Kemudahan Rekreasi Luar Bandar
IGAN: Projek Fasa 1 Kompleks Sukan Komuniti dan Rekreasi Igan yang bernilai hampir RM5 juta mencatat perkembangan memberangsangkan apabila kerja-kerja penyediaan tapak berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan fasa pembinaan kemudahan sukan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, kemajuan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mempercepat pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat luar bandar.
“Pembinaan kompleks ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan awam yang berkualiti demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pemantauan ke Tapak Projek Membina dan Menyiapkan Kompleks Sukan Komuniti dan Rekreasi Igan, Mukah (Fasa 1) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah pada Selasa.
Menurutnya, fasa seterusnya yang melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan sukan, fasiliti rekreasi dan infrastruktur sokongan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan kompleks tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Beliau berkata, apabila siap sepenuhnya kelak, kompleks tersebut akan menjadi pusat aktiviti komuniti yang menyediakan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi, di samping menjadi lokasi penganjuran program kemasyarakatan.
Menurut beliau, kemudahan itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah berperanan sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim serta merancakkan aktiviti sosial dan sukan dalam kalangan masyarakat setempat.-EDISI UKAS