Projek Jalan Sungai Ilas Disambung Semula, Perkukuh Akses Penduduk Pedalaman Batang Igan
IGAN: Projek Jalan Kampung Igan ke Rumah Panjang Sungai Ilas dan Kampung Sah, Kebuaw, Batang Igan (Fasa 1) yang sebelum ini tergendala kini disambung semula menerusi pelantikan kontraktor penyelamat, sekali gus memastikan pembinaan infrastruktur yang dinantikan penduduk pedalaman itu dapat diteruskan hingga siap.
Projek bernilai RM23 juta itu dijadualkan disiapkan dalam tempoh 15 bulan dengan skop menyiapkan baki 15 peratus pembinaan selepas kontraktor asal gagal menyiapkan projek mengikut jadual.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, projek tersebut merupakan antara projek infrastruktur terawal yang diluluskan oleh Premier Sarawak bagi kawasan Jemoreng pada tahun 2018.
“Hasil usaha berterusan Kerajaan Sarawak dan JKR, projek ini akhirnya berjaya disambung semula melalui pelantikan kontraktor penyelamat bagi menyiapkan baki kerja pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis penyerahan projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kontraktor penyelamat, Asarajaya Sdn. Bhd., di tapak projek pada Selasa.
Menurut beliau, projek berkenaan telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 85 peratus sebelum diklasifikasikan sebagai projek sakit selepas kontraktor asal gagal menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan JKR atas komitmen memastikan projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat terus dilaksanakan sehingga siap.
Apabila siap kelak, projek jalan tersebut akan menyediakan akses darat yang lebih selamat, selesa dan efisien kepada penduduk Kampung Sungai Ilas, Kampung Sungai Sah serta warga Sekolah Kebangsaan Sungai Ilas, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan sungai yang sering dipengaruhi keadaan cuaca.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Joseph Aus berkata pembinaan jalan itu bakal memudahkan urusan harian masyarakat termasuk menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan kesihatan dan menjalankan aktiviti ekonomi tanpa lagi bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bot.
“Apabila jalan ini siap nanti, kami tidak lagi perlu menggunakan bot untuk urusan harian. Ini sudah tentu lebih selamat dan memudahkan pergerakan penduduk,” katanya.
Tuai Rumah Raya pula menyifatkan penyambungan semula projek tersebut sebagai berita yang amat menggembirakan penduduk selepas sekian lama pembinaannya terhenti.-EDISI UKAS