Pusat Servis Igan, Matu Pacu Pertumbuhan Ekonomi Luar Bandar
MATU: Projek Igan Service Centre dan Matu Service Centre yang sedang dibangunkan Kerajaan Sarawak dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar menerusi penyediaan pusat perniagaan moden yang mampu merancakkan aktiviti keusahawanan, perdagangan dan perkhidmatan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, perkembangan positif kedua-dua projek itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur ekonomi yang lebih tersusun dan kondusif demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Kedua-dua projek ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan luar bandar dengan menyediakan pusat perniagaan yang lebih moden, tersusun dan kondusif kepada usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pemantauan ke tapak Projek Igan Service Centre dan Matu Service Centre yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) pada Selasa.
Menurut beliau, Projek Matu Service Centre kini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 97 peratus, dengan kerja-kerja melengkapkan kemudahan berada pada peringkat akhir, manakala bangunan medan selera telah siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada Oktober ini.
Bagi memastikan premis tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya, Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) akan mengadakan sesi temu duga dalam masa terdekat bagi memilih peniaga yang telah mengemukakan permohonan untuk menjalankan perniagaan di medan selera berkenaan.
Sementara itu, Projek Igan Service Centre pula telah menyiapkan sepenuhnya kerja-kerja penyediaan tanah dan kini memasuki fasa pemantauan surcharge bagi menilai tahap mendapan tanah sebelum pembinaan diteruskan ke peringkat seterusnya.
Menurut Datuk Dr Juanda, penyediaan kemudahan tersebut bukan sahaja membuka lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan, malah dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti perdagangan, perkhidmatan dan perusahaan kecil.
Beliau berharap kedua-dua projek berkenaan menjadi pusat tumpuan komuniti yang mampu menggerakkan pembangunan kawasan sekitar serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selaras dengan agenda pembangunan inklusif Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS