Kerjasama Strategik Dengan Institusi Nasional Perkukuh Agenda Pelaburan Sarawak
KUALA LUMPUR: Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi kewangan, pelaburan dan pengawal selia negara bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini.
Usaha itu diterajui Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel menerusi siri kunjungan hormat ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Pengerusi ASSAR Asset Management Sdn. Bhd. (ASSAR Asset) turut memperkenalkan peranan syarikat berkenaan sebagai syarikat pengurusan aset milik Kerajaan Sarawak.
Dalam pertemuan bersama Pengerusi KWSP, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam pengurusan pelaburan merangkumi pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan ekuiti bagi meningkatkan nilai pelaburan jangka panjang.
Delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi bagi membincangkan aspek tadbir urus dan pematuhan peraturan melibatkan inisiatif ASSAR Asset bersama SiliconNet Technologies Sdn. Bhd. dan Permodalan ASSAR.
Dalam pertemuan itu, beliau turut mengiktiraf kedudukan Sarawak sebagai ‘Battery of ASEAN’ berikutan potensi besar tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki negeri ini serta peranannya dalam menyokong keselamatan tenaga serantau.
Sementara itu, kunjungan ke MITI memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam menarik pelaburan strategik, merancakkan pembangunan industri dan meningkatkan daya saing Sarawak sebagai destinasi pelaburan serantau.
Menurut Dato Sri Dr Muhammad Abdullah, kerjasama erat antara Sarawak dan institusi nasional akan terus menjadi pemangkin kepada pelaburan berimpak tinggi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).-EDISI UKAS