Sarawak Sasar Kekal Juara Para SUKMA Ke 22 Selangor 2026
KUCHING: Kontinjen Para Sarawak menyasarkan untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Para SUKMA ke 22 Selangor 2026 meskipun bakal berdepan cabaran sengit pada temasya itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, semangat juang yang dipamerkan kontinjen pada edisi lalu perlu terus dikekalkan bagi memastikan kejayaan Sarawak dapat dipertahankan.
“Kita tidak boleh lepaskan mahkota itu. Kita ke Selangor bukan untuk menyerah kejuaraan, tetapi untuk mempertahankan kejuaraan.
“Kita mahu seluruh Malaysia melihat bahawa atlet para dari Sarawak bukan calang-calang. Kita datang dari Bumi Kenyalang dan semangat kita tidak pernah luntur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kem Motivasi Kontinjen Para Sarawak dan Majlis Countdown Para SUKMA XXII Selangor di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, kontinjen itu turut berdepan cabaran susulan perubahan had umur bagi sesetengah acara, namun percaya atlet Sarawak mampu mengatasinya dengan semangat juang yang tinggi.
“Kita telah menghadapi banyak cabaran, namun kita mencari jalan untuk mengatasi segala kekangan yang wujud. Kita tidak boleh mengalah sebelum berjuang.
“Anak Sarawak mesti ingat, anak Sarawak pantang dicabar,” tegasnya.
Pada Para SUKMA XXII Selangor 2026, Kontinjen Para Sarawak yang dianggotai 383 orang akan bertanding dalam 10 jenis sukan.
Pada majlis sama, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan surat pelantikan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam sebagai Chef de Mission Kontinjen Para Sarawak bagi menghadapi Para SUKMA Ke- 22 Selangor 2026.-EDISI UKAS