Cinta Kepada Rasulullah SAW Perlu Dizahirkan Dalam Kehidupan
ASAJAYA: Kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui akhlak dan amalan seharian, bukan hanya dizahirkan menerusi selawat, perarakan atau sambutan Maulidur Rasul.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penghayatan terhadap Rasulullah SAW perlu menjadi panduan dalam membentuk masyarakat yang mempunyai nilai serta akhlak yang kukuh.
“Kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya hanya dizahirkan melalui selawat dan perarakan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan melalui kehidupan kita setiap hari,” katanya ketika menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Komuniti Kampung Tambirat, di sini pada Selasa.
Menurutnya, nilai dan akhlak yang baik merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang kukuh, selain menjadi sebahagian daripada usaha memastikan pembangunan sesebuah kawasan turut disokong pembentukan modal insan yang berkualiti.
Dalam pada itu, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Komuniti Kampung Tambirat 1448H/2026M menghimpunkan kira-kira 240 peserta daripada 16 kontinjen melibatkan pelbagai komuniti di Daerah Asajaya.
Penganjuran bersama 11 organisasi komuniti di Kampung Tambirat, termasuk jawatankuasa kampung, masjid, surau, belia dan wanita, turut memperlihatkan penglibatan pelbagai kelompok masyarakat dalam menjayakan sambutan.
Pihak penganjur juga mengubah suai pelaksanaan aktiviti dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan peserta susulan keadaan jerebu.
Pertandingan sepanduk menjadi antara pengisian utama sambutan, dengan penilaiannya dilaksanakan di lokasi tanpa
acara perarakan.
JKKK Tambirat Ulu muncul juara dengan hadiah RM600, diikuti Kampung Tambirat Lot di tempat kedua (RM500) dan Surau Darul Taqwa Tambirat Nanas di tempat ketiga (RM400). -EDISI UKAS