Kehadiran Masyarakat Bukan Islam Serlah Perpaduan Di Simunjan
SIMUNJAN: Kehadiran pemimpin dan masyarakat bukan beragama Islam pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1448H/2026M mencerminkan semangat perpaduan serta sikap saling menghormati yang menjadi kekuatan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, kebersamaan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum dalam satu majlis menunjukkan keunikan kehidupan bermasyarakat di Sarawak yang sentiasa mengutamakan keharmonian serta toleransi.
Menurutnya, perbezaan agama dan kaum tidak seharusnya menjadi penghalang untuk masyarakat bersama-sama berkongsi aspirasi serta menyokong usaha pembangunan yang memberi manfaat kepada semua.
"Walaupun kita berbeza kaum dan agama, kita boleh duduk bersama dalam satu dewan untuk berkongsi aspirasi pembangunan. Semangat ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang mahukan kemajuan dinikmati semua lapisan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1448H/2026M di Dewan Mesra Simunjan, pada Selasa.
Rodiyah berkata, semangat perpaduan dan saling menghormati perlu terus dipelihara kerana keharmonian masyarakat merupakan antara asas penting dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai ruang untuk menghayati akhlak Nabi Muhammad SAW, khususnya nilai amanah, kesabaran dan sikap saling menghormati.
Katanya, nilai-nilai tersebut amat penting untuk diterapkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, harmoni dan prihatin terhadap kesejahteraan bersama. -EDISI UKAS