Hadiah Gelang Emas Dijangka Tarik Ribuan Pengunjung Ke Program SKS Sarikei
SARIKEI: E-Peraduan QR Code dengan tawaran 82 hadiah cabutan bertuah termasuk gelang emas seberat 20 gram bernilai kira-kira RM15,000 dijangka menjadi antara tarikan utama Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sarikei yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini, sekali gus menyemarakkan penyertaan masyarakat sambil meningkatkan pemahaman terhadap dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pengunjung hanya perlu mendaftar melalui kod QR dan menjawab beberapa soalan berkaitan maklumat yang dipamerkan oleh jabatan serta agensi kerajaan untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah.
Menurutnya, selain hadiah utama berupa gelang emas, peserta turut berpeluang memenangi televisyen 60 inci, motosikal serta pakej percutian ke Jakarta selama dua malam.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, pada Selasa.
Dalam pada itu jelasnya, pendekatan tersebut bukan sahaja menggalakkan penglibatan pengunjung, malah mendorong masyarakat mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelbagai dasar, inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan.
Datuk Len Talif menambah, Program Sarawakku Sayang terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat melalui penyampaian maklumat yang lebih dekat, interaktif dan berkesan.
“SKS merupakan wadah pemimpin berinteraksi dengan rakyat, berkongsi maklumat mengenai dasar serta bantuan kerajaan, selain turun padang melihat sendiri keadaan di lapangan supaya tindakan susulan dapat diambil bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu turut memberi peluang kepada Premier Sarawak untuk berkongsi hala tuju pembangunan negeri secara terus dengan masyarakat.
Mengenai persiapan penganjuran, beliau memaklumkan kesiapsiagaan SKS 2026 Bahagian Sarikei yang diselaraskan oleh Pejabat Residen Bahagian Sarikei kini telah mencapai 95 peratus, dengan semua agensi yang terlibat berada pada tahap siap siaga.
“Semua persiapan serta agensi yang diamanahkan sudah bersedia pada tahap 95 peratus. Kita kini memperhalusi semua aspek bagi memastikan kelancaran program dengan menjadikan lima siri terdahulu sebagai penanda aras,” katanya.
Sepanjang tiga hari penganjuran, SKS Sarikei akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk majlis makan malam komuniti, Konsert Rakyat, Brisk Walk bersama Premier Sarawak, pameran agensi kerajaan serta pelbagai program kemasyarakatan.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pendidikan tinggi percuma dan bantuan yang disediakan oleh agensi berkaitan.
Penganjuran SKS 2026 Bahagian Sarikei dijangka menarik antara 30,000 hingga 50,000 pengunjung, sekali gus memperkukuh penyampaian dasar kerajaan, mempromosikan produk pelancongan dan gastronomi tempatan serta meningkatkan penyertaan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti interaktif. -EDISI UKAS